.

9:34 AM

PPSMI : DILEMA BAHASA DITELAN BANGSA.

Perjuangan memartabatkan bahasa melayu telah melakarkan sebuah perjuangan yang panjang. Sewaktu detik mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tuntutan rakyat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi tidak dapat dipenuhi oleh parti yang memerintah. Alasannya kerana Bahasa Melayu belum benar-benar bersedia untuk mengambil-alih tugas Bahasa Inggeris yang telah digunakan oleh penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara. Atas sebab itu, Bahasa Inggeris masih dibenarkan penggunaannya, untuk tempoh masa 10 tahun lagi. Tempoh itu dirasakan manasabah untuk setiap rakyat Tanah Melayu mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu.

Pada tahun 1967, Bahasa Inggeris masih diberi ruang yang besar sebagai bahasa rasmi. Badan NGO Melayu rasa terkejut dengan beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang Bahasa 1967 yang masih mengekalkan Bahasa Inggeris dalam beberapa bidang terutama bidang kehakiman.

Apa gunanya merdeka, jika bahasa anak pribumi dianggap sebagai bahasa kelas ketiga dan tidak layak diguna di negara sendiri? Adakah tempoh 10 tahun masih tidak cukup untuk setiap rakyat memantapkan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan? Inilah yang diperjuangkan oleh pejuang bahasa dalam tahun 1967. Mereka berasa bagi dikhianati oleh para pemimpin yaang kononnya memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.

Sekumpulan 9 orang peguam Melayu telah menghantar memorandum menyuarakan bantahan namun tidak dipedulikan oleh parti yang memerintah.

Kemarahan orang Melayu membuak-buak. Seramai 2,000 orang mewakili 120 pertubuhan orang Melayu telah berhimpun di Balai Budaya, DBP pada petang Jumaat 3 Mac, 1967. Perhimpunan ini menyaksikan orang Melayu bersatu tanpa mengira fahaman politik. Peristiwa itu juga diingati dengan ucapan Tun Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP yang menitiskan airmata mengenangkan nasib Bahasa Melayu;

"...saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat..."

Kemarahan rakyat sudah tak terbendung menyaksikan sekumpulan aktivis bersedia mahu berarak ke Bangunan Parlimen. Mereka mahu mengusung Keranda 152 yang membawa jiwa bangsa yang sudah ditamatkan hayat oleh bangsanya sendiri.

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu mencapai kemenangan apabila tercetusnya peritiwa 13 Mei 1969, yang kemudiannya seakan menjadi penyelamat apabila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara.

Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)...

Hari ini martabat bahasa Melayu telah berjaya dijahanamkan. Segala titik peluh, darah keringat dan pengorbanan mengangkat bahasa Melayu diabaikan, langsung tidak diberi pengiktirafan. Golongan 'taksub' Western worldview bersorak keriangan kerana semua bahasa- bahasa ibunda di dunia, termasuk bahasa Melayu disapu habis oleh kuasa bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris telah menjadi lingua franca seantero dunia.

Perlaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris (PPMSI) telah dilancarkan pada sesi persekolahan 2003 yang mana telah diputuskan sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002. Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.

Perlaksanaan PPSMI dilihat sebagai satu keputusan drastik pihak kerajaan tanpa membuat satu penilaian dan penelitian yang teliti terhadap keberkesanan dan impaknya kepada semua rakyat Malaysia.

Dalam satu pertemuan tertutup bersama GAPENA suatu ketika dahulu, Tun Dr Mahathir sendiri mengakui kesilapannya dalam meluluskan keputusan PPMSI di Malaysia. Namun, oleh kerana keputusan tersebut telah dimulakan maka PPSMI tetap diteruskan.

Isu yang tidak pernah menunjukkan penyelesaiannya, terdapat pelbagai pendapat yang menghujani pemikiran mahasiswa dalam melihat isu tenggelamnya Bahasa Melayu di bumi Malaysia tercinta ini. Ada yang mengatakan ia baik untuk memajukan pengetahuan Bahasa Inggeris Pelajar, ada juga yang mengatakan ia sebenarnya adalah virus kecelaruan pemimpin yang menjadi penyebab kepada kegagalan Mahasiswa mahupun ratusan ribu Pelajar sekolah pada hari ini yang mendapat keputusan yang begitu menyayat hati.Justeru itu semuanya kembali pada kita untuk membuat penilaian yang tersendiri samada PPSMI wajar diteruskan ataupun tidak .Saya yakin dan percaya mahasiswa adalah seorang yang intelek dalam membuat ulasan berkaitan hal ini.

0 comments: